19
TANDA KEMATIAN YANG MULIA
(KHUSNUL KHOTIMAH)
Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian
sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang ucapan terakhirnya ‘Laa ilaaha
illallah’, maka dia masuk syurga.” (Hadis Hasan)
Ke-2: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat
atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin
Khusaib RA bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang
sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya
berkeringat maka dia berkata: “Allahu Akbar!, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Kematian seorang mukmin disertai keringat di
keningnya.” (Hadis Sahih)
Ke-3: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam
Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang
Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah
melindunginya daripada seksa kubur.”
Ke-4: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana
ertinya: “Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang
terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan
mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan
memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang
janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan
kenikmatan dari Allah dan kurniaNya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan
balasan bagi orang-orang beriman.” (QS Ali Imran:169-171)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Orang yang syahid
mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama;
diperlihatkan tempatnya dalam syurga; dijauhkan dari seksa kubur; diberi
keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat; dipakaikan mahkota
keimanan; dinikahkan dengan bidadari syurga; diizinkan memberi syafaat bagi
tujuh puluh anggota keluarganya.”
Ke-5: Mereka yang meninggal dunia ketika berjuang di jalan Allah
(bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Apa yang kalian nilai
sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah, siapa yang
terbunuh di jalan Allah, maka dia syahid. Beliau berkata: Jadi sesungguhnya
syuhada’ umatku sedikit.” Mereka berkata: “Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?”
Baginda bersabda: “Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang
siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun
syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang
tenggelam syahid.”
Ke-6: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis
antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Wabak taun adalah kesyahidan bagi
setiap Muslim.”
Ke-7: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis
di atas.
Ke-8 dan ke-9: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan
berdasarkan sabda Nabi SAW: “Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun,
kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di
jalan Allah.”
Ke-10: Matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan
anaknya: Dari Ubadah bin Shamit RA bahawa Rasulullah SAW menjenguk Abdullah bin
Rawahah RA dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu
berkata: “Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku?” Mereka berkata:
“Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid.” Baginda berkata: “Jadi sesungguhnya
para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun
syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan
tali arinya ke syurga).”
Ke-11 dan ke-12: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang
menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang
paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: “Syuhada’ ada
tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak taun syahid; yang
tenggelam syahid; yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada
syahid; yang sakit perut syahid; yang mati terbakar syahid; yang mati terkena
runtuhan syahid; dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid.”
Ke-13: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang
mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam
syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut
syahid.” (Hadis Hasan)
Ke-14: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak
dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah SAW
bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang
siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia
mempertahankannya dan terbunuh,) maka dia syahid.”
Ke-15 dan ke-16: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya:
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid,
barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang
terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya
syahid.”
Ke-17: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga-jaga di
perbatasan) di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya:
Rasulullah SAW bersabda: “Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan
qiyamullail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan
yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan diamankan dari fitnah.”
Ke-18: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucapkan: ‘Laa ilaaha
illallah’ mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia
masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu
wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah
dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya
maka dia masuk syurga.”
Ke-19: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi
nasihat kepadanya: Rasulullah SAW bersabda: “Penghulu para syuhada’ adalah
Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim,
lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia
dibunuhnya.” Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya, dan Al
Khatib.
Semoga kita dimatikan di dalam Khusnul Khotimah dan dijauhkan
kematian di dalam Suul Khotimah. Amien, Ya Rabbal ‘Alamin...
Wallahua'lam.