Seorang
lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah
Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang
diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya
seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua
perempuan di semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat
berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan
Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam,
ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada
Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh
oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran
Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa.
Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula
dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah. Ketika itu,
malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat
membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
Dia
(malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada
Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'"
(19:18-19)
Pada
ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu telah
memberi nama kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh
Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil
berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai
Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata
daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di
dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah
aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun
menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia
(Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah
bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia,
dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah
ditentukan'" (19:21).
Maka
lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi
Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat
(tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya.
Allah
juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam
diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada
ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah. Itu menunjukkan mereka
adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa
adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang
rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia
berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa,
Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh
Suci. Firman-Nya:
"Dan
rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang
lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian
Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti
yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah,
'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan
apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub,
dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang
diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak
membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami
muslim.'" (2:136)
Akibat
membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu
Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak
Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat
hukum agama.
Ajaran
Oleh
kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang
mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil.
Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil,
baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman
Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan
Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan
mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di
dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku
(Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku
dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'"
(5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika
baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka
kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa yang
diperselisihkan. Firman Allah:
"dia
(Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan
supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu
memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'"
(43:63)
Baginda
juga memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda,
yang namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai
Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu,
mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan
seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti
Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang
setia dan juga yang tidak setia atau yang menentang.
Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya.
Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan
ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah
kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah
Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong
Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman
kami.'" (3:52)
Begitu
juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad.
Semuanya menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan
menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai
orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah,
sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang
setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?'
Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau
bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti
selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi
tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit.
Kisahnya berbunyi begini:
"Dan
apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera
Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja
hidangan dari langit?'
Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka
berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami
menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar
kepada kami, dan supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya
Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan
dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama
dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan
berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi
rezeki." (5:114)
Allah
mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi
satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah
di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain
daripada kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah
dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika
Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke
atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan
Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam
buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada
tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu
menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara
mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun
Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada
berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad.
Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan
Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak
seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa
disalib tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah
wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah wafat selepas
peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak
diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah
melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan
tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka
telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa
yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan
mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul
Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya,
tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang
yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya;
mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan;
mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Telah
wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di
dalam al-Qur'an, iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali
kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah
Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku. Pertama, orang-orang yang
mengaku pengikut baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau
berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu tidak
dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian,
antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau
anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan
mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah terpesong
dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah
orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya
Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang
Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan
daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya
sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka
dipalingkan?" (9:30)
Satu
bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan kepercayaan
mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih,
putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah
berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan.
Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka,
kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi
Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia
makan tentu Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan
makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut
seperti yang terdapat di bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya
hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu
Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga dan tetap dengan
kepercayaan mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya.
Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai
Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah
aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada
Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku
tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya,
dengan mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui
apa yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui
yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
"Aku
hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku
dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan
aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi
setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas
mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Nabi
Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat berat
juga. Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an.
Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah
yang berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun,
masa masih ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.